Bukan cinta gelojoh

 

hi_02_1


 

PROGRAM Sehati Sejiwa yang diadakan secara langsung Rabu lalu menerusi TV1 menampilkan pasangan pengantin baru Mawi dan Ekin, namun aksi pengacaranya, Scha turut menjadi perhatian.

Scha sebelum ini menafikan kepada media bahawa Fahrin Ahmad merupakan kekasih hatinya, namun kehadiran lelaki itu dalam program tersebut mula menimbulkan syak wasangka.

Fahrin dilihat memberi bantuan dan penerangan kepada Scha di belakang tabir tatkala program selama sejam itu berhenti menyiarkan iklan selang beberapa minit.

Bahkan, pasangan itu tanpa segan silu memperlihatkan riak kemesraan di hadapan wartawan dan tenaga produksi rancangan itu walaupun menyedari ada mulut yang tidak henti bercakap tentang mereka.

Scha bagaimanapun menjelaskan kepada Kosmo! relevannya ‘kunjungan’ lelaki tampan itu ke set Sejati Sejiwa iaitu bagi membantu dirinya yang bertindak selaku pengacara untuk kali pertama.

“Fahrin datang ke penggambaran Sehati Sejiwa itu bukannya sengaja atau suka-suka, sebaliknya dia membantu saya yang kelam-kabut apabila ditugaskan menjadi hos.

“Memang saya suruh Fahrin datang, malah awal-awal lagi saya sedar pasti ramai yang bakal bercakap tentang kemunculan Fahrin dalam set program berkenaan.

hi_02_2


 

“Saya tidak ambil peduli dengan kata-kata belakang orang lain. Asalkan saya tahu niat baik mengajak Fahrin itu hanya untuk membantu, saya tidak perlu risau dengan gosip yang akan diperkata,” akui Scha tanpa berselindung.

Scha yang menelefon Fahrin memintanya datang sehari sebelum program itu disiarkan menjelaskan, selain Fahrin, dia juga pernah meminta pertolongan rakan lain sewaktu menjadi pengacara sebuah program di stesen TV swasta.

“Sekiranya ada kawan yang lapang, saya akan menghubungi sambil mengajak teman itu untuk menemani saya yang agak gemuruh ketika bersiaran.

“Kalau hendak bercakap soal Fahrin, saya rasa tiada salahnya saya mengajak dia ke set Sehati Sejiwa. Lagipun kami macam adik dan abang yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Sekali lagi saya ingatkan, Fahrin sekadar datang untuk menolong saya saja. Tiada maksud lain yang tersembunyi.

“Saya masih waras lagi dalam soal ini. Tidak mungkinlah saya sengaja mengajak Fahrin datang, sedangkan saya mengerti pihak media turut hadir bagi membuat liputan dalam Sehati Sejiwa,” ungkap Scha atau nama lengkapnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.

Sengaja mengusik, apakah nasihat yang Fahrin berikan buat empunya diri, pantas Scha berkata: “Dia tidak beri banyak nasihat dalam soal ini.

“Sebaliknya Fahrin sekadar menjadi pemerhati untuk saya semasa bersiaran. Kalau saya ada buat sebarang kesalahan, barulah dia akan menegur agar saya memperbaiki diri.

hi_02_3

FAHRIN pun nampak gementar dengan penampilan Scha sebagai pengacara.



 

“Cuma Fahrin sempat cakap kepada saya agar tidak terlalu gementar, malah dia menyuruh saya jadi diri sendiri semasa mengendalikan rancangan itu yang memakan masa selama 60 minit,” beritahu Scha yang menjadi perantara Sehati Sejiwa sebanyak 13 episod untuk siaran TV1.

Paling menarik, setelah Sehati Sejiwa hampir melabuhkan tirainya, Fahrin tidak ketinggalan sempat memegang ubun kepala Scha sebagai tanda berpuas hati dengan kejayaan awal wanita itu mengemudikan program tersebut.

Begitulah lagak kemesraan yang dipamerkan dua individu yang dikatakan sedang ingin bercinta dan menyulam hubungan nan indah itu.

Teruja jadi pengacara

Baru sahaja ingin mempersembahkan bakat dan wajahnya dalam bidang lakonan, kini Scha mula beralih cinta dengan terjun ke dalam dunia pengacaraan.

Barangkali, ada suara-suara nakal yang beranggapan bahawa lakonan belum pun menguji sepenuhnya kredibiliti Scha, tahu-tahu dia kini menceburkan diri sebagai pengemudi program.

“Saya sedar ramai yang akan bercakap perkara sama. Lantas saya ambil keputusan untuk tidak terikat dengan mana-mana produksi lakonan bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam pengacaraan buat masa ini.

“Lagipun tiada salahnya kalau saya sekadar hendak mencuba sambil mengembangkan bakat yang ada. Dalam waktu rehat daripada berlakon ini, saya akan lakukan sehabis baik untuk bergelar seorang pengacara.

“Saya dapati banyak perbezaan ketara tentang lakonan dan pengacaraan. Berlakon boleh dilakukan berulang kali, namun mengendalikan program terutama siaran langsung bukannya perkara yang boleh dipandang mudah.

“Kalau ada buat salah, saya kena bijak mengawal keadaan agar tidak dilihat terlampau jelas di pandangan audiens.

“Selepas ini kalau dapat tawaran mengacara, saya akan pilih mana-mana yang bersesuaian dengan diri. Saya enggan buat sesuatu yang berada di luar kemampuan.

“Sebaliknya saya lebih senang menerima tawaran mengacara program yang mudah terlebih dahulu. Biarlah saya mengukur baju di badan sendiri,” akui Scha yang sarat sifat merendah diri.

Sedang ingin bercinta

Minggu ini Scha membuat penafian bahawa Fahrin bukanlah kekasih hatinya seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini oleh pihak media.

Ada yang terkejut, malah ada pula masyarakat yang sekadar memberikan reaksi bersahaja tentang ceritera cinta dua pelakon ini.

Scha yang telus menjawab setiap pertanyaan menjelaskan, dia dan Fahrin sememangnya bukan sebagai pasangan yang sedang hanyut dibuai api asmara.

“Dia (Fahrin) bukan kekasih saya,” ulang Scha sekali lagi dalam lontaran suara serius.

Sambung wanita berusia 25 tahun itu lagi, dia sedar peminat akan membuat pelbagai andaian, malah mengatakan dia dan Fahrin bersikap hipokrit selama ini.

Namun, itulah kebenaran yang tidak mampu untuk disangkal lagi kerana bagi Scha, Fahrin berada dalam hierarki sendiri dalam hidupnya selagi bergelar manusia biasa.

hi_02_4

AKSI spontan pasangan Scha dan Fahrin di set penggambaran yang sempat dirakamkan.



 

“Kami masih mengenal diri masing-masing. Secara terus terang, kami memang belum bercinta, namun saya akui kami sedang ke arah itu.

“Itu yang betul-betul terjadi. Kami ingin mendalami satu sama lain dulu sebelum bercinta. Memasuki usia tiga bulan kami mula berkenalan dan meneruskan ikatan persahabatan ini.

“Biasalah, kalau ingin mengeratkan satu-satu hubungan akan mengambil masa selama enam bulan. Kami enggan bersikap gelojoh dalam soal ini.

“Kalau ada jodoh, kami tidak akan sesekali menipu peminat dan memberitahu perkara sebenar. Kalau kami betul-betul bercinta manakala Fahrin cuba untuk menyorokkan perihal sebenar, saya sendiri yang akan beritahu,” janji Scha buat sekalian pemuja dirinya.

Sebelum menutupkan kata terakhir, Scha sempat memohon kepada masyarakat agar tidak mengaitkan bermacam kisah tentang dirinya dan Fahrin.

“Saya malu dengan kawan artis lain yang sering menghantar SMS kepada saya bertanya lebih lanjut perkara itu. Malah mereka turut merungut kerana cerita peribadi saya lebih banyak dibentangkan berbanding soal karier.

“Meskipun saya faham isu ini diibaratkan asam garam bergelar insan seni, tetapi saya harap selepas ini biarlah kisah kerjaya saya pula yang diuar-uarkan,” mohon Scha lembut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: