Enggan dikaitkan dengan Fahrin

ARKIB : 05/01/2009

 

 

hi_01_1

Scha MAHU DIKENALI KERANA BAKAT BUKAN KISAH PERIBADI



APABILA aktor tampan Fahrin Ahmad dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan aktres muda berbakat besar, Scha, ia sekali gus mencetus perbualan ramai.

Ini kerana, episod panjang kisah cinta Fahrin dengan bekas teman tapi mesranya sebelum ini, Linda Onn sudah berakhir.

Justeru, cinta baru Fahrin ingin diketahui ramai. Apakah wanita baru yang didampinginya kali ini sehebat Linda? Atau mungkin lebih tinggi daripada Linda?

Yang pasti nama Scha tercatat sebagai kekasih baru Fahrin dalam direktori hiburan tanah air.

Identiti wanita yang memiliki nama unik ini sudah diketahui ramai. Dia adalah pelakon yang sedang merangkak membina populariti.

Lakonan terbarunya ialah dalam filem Histeria sementara drama bersiri lakonannya pula ialah Awan Dania yang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Persoalannya sekarang, benarkah Scha buah hati baru Fahrin?

Scha saya temui dalam satu pertemuan yang diatur dengannya baru-baru ini.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir hadir dalam gaya yang cukup sederhana.

Bagai sudah meneka apa yang mahu disoal, Scha terbuka dan cukup diplomasi menjawab setiap pertanyaan Hits.

Perbualan tempoh hari dimulakan Scha dengan meluahkan kegusaran yang bersarang di hatinya mengenai kecenderungan orang ramai bercakap perihal peribadinya berbanding kerjayanya.

“Saya takut disalah anggap sebagai artis yang gemarkan publisiti murah. Secara jujur, saya tidak minat kisah peribadi saya diperdagangkan,” Scha meluah rasa kesal yang sarat ditanggung.

Pada masa yang sama, apa yang turut membuatkan pelakon berusia 25 tahun itu keliru ialah dia dan Fahrin bukanlah pasangan kekasih seperti yang digembar-gemburkan.

Dengan lapang dada dan hati yang terbuka, Scha menjelaskan, dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki tersebut.

Bahkan ujar Scha lagi, ketika ini juga perasaan kasih dan sayang masih belum terbit di hatinya.

Sebaliknya, keinginan Scha buat masa sekarang ialah mahu menjalin hubungan sebagai rakan yang baik dengan Fahrin.

Menurut Scha, andai benar dia dan Fahrin sedang berkasih, perkara itu tidak langsung membebankan fikirannya.

Namun kekesalan yang menghantui fikiran bekas pramugari ini ialah cerita-cerita yang diperkatakan bukanlah kisah benar.

“Saya memang tak bercinta dengan dia (Fahrin), kalau saya bercinta tak mengapa. Saya tak mahu orang kenal saya Scha-Fahrin, sebaliknya biarlah orang kenal saya, Scha Awan Dania.

“Saya lebih selesa begitu kerana saya mahu membina nama saya sendiri,” katanya memohon pengertian semua pihak.

Disebabkan tekanan itu juga, Scha memohon pertimbangan masyarakat agar jangan mudah mendakwa dia cuba meraih publisiti murahan dengan membenarkan gosip berkenaan berleluasa.

“Saya tak pernah rancang untuk jadi macam ini. Saya baru berkawan dengan Fahrin dua tiga bulan lepas macam mana nak bercinta,” katanya penuh tanda tanya.

Sebagai wajah baru dalam industri hiburan tanah air, pelakon yang dilahirkan pada 30 Mei 1983 ini turut menyatakan rasa hairan kenapa perkenalannya dengan Fahrin menjadi tumpuan berbanding hubungan baiknya dengan pelakon lelaki lain.

“Saya juga berkawan baik dengan pelakon lelaki lain tapi tak pula kecoh. Tapi apabila dengan Fahrin ini tiba-tiba jadi perhatian, mungkin sebab dia baru saja putus cinta.

“Di sini juga saya ingin jelaskan, yang saya mengenali dan berkawan dengan Fahrin selepas dia putus cinta bukan semasa dia bercinta. Saya tak mahu orang menyalahkan saya pula nanti,” katanya lagi.

Jika ada yang pernah membaca perjalanan seni Scha, dia merupakan finalis Dewi Remaja 2006 dan perjalanan seninya bermula sekadar suka-suka.

Daripada suka-suka bertukar menjadi minat dan seterusnya kini dia selesa untuk mengekalkan bidang ini sebagai sumber kewangannya.

Menyingkap kisah lalu, dalam nada ceria cerita Scha, dia mula belajar memegang duit sendiri selepas memilih menjadi pramugari.

Selama setahun membina pengalaman di situ, Scha kemudiannya memilih untuk berhenti dan aktif sebagai peragawati sehinggalah menyertai pertandingan Dewi Remaja dan memenangi pertandingan itu.

Bertitik tolak dari situ, Scha mula menerima pelbagai lamaran berlakon antaranya drama Bella yang disiarkan di TV3 diikuti dengan drama Awan Dania serta filem Antoo Fighter dan Histeria.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: