Demi ibu bapa Sharifah sanggup berkorban apa sahaja

ARKIB : 27/12/2006

 

 

ke_01_big

BAJU kebaya berpotongan tradisional menyerlahkan kejelitaan Sharifah di hari raya.



“BERKORBAN apa sahaja.., harta ataupun nyawa.., itulah kasih mesra. Sejati dan sejiwa..”

Begitulah indahnya lirik lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ketika menceritakan mengenai kepentingan pengorbanan dari seseorang kepada seseorang yang dikasihi.

Bagi Sharifah Nor Azean Syed Mahadzhir, 23, Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang lima hari lagi telah mengamit kembali ingatannya mengenai pengorbanannya sebelum ini.

Mungkin bagi sesetengah orang, pengorbanannya adalah kecil tetapi bagi gadis manis ini, pengorbanan untuk melupakan impian dan hasrat demi memenuhi hasrat kedua ibu bapa terlebih dahulu adalah suatu yang sangat penting.

Menurut Sharifah, dia sanggup mengorbankan impiannya untuk menyertai dunia pekerjaan demi memenuhi permintaan keluarganya yang inginkan beliau menamatkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat terlebih dahulu.

Baginya, inilah pengertian korban yang perlu dilakukannya ketika dia masih remaja dan Sharifah memahami bahawa pengorbanan dalam Islam mempunyai makna yang luas.

“Kalau Hari Raya Aidiladha, kita pasti kaitkan dengan korban binatang seperti lembu tetapi bagi diri saya sendiri, pengorbanan terbesar yang perlu dilakukan ialah memenuhi kehendak ibu bapa dan tidak lupa membalas jasa mereka,” jelasnya.

Menurut Sharifah, meskipun dia tidak dilarang untuk menceburi bidang glamor tetapi bapanya, Syed Mahadzir Syed Kechik yang berketurunan Arab dan ibunya, Junaidah Hashim berketurunan Cina tetap mahukannya mengutamakan pelajaran.

“Abah dan ibu selalu ingatkan saya dan adik-adik, dari segi akademik, kami semua perlu sekurang-kurangnya memiliki diploma.

“Sejak saya kecil hingga dewasa, keluarga yang banyak melakukan pengorbanan dan mendorong saya untuk berjaya dan saya sanggup berkorban apa sahaja untuk mereka,” katanya.

Siapa sangka di sebalik keayuan wajahnya, Sharifah atau lebih senang dengan panggilan Scha sebenarnya pernah menimba pelbagai pengalaman pekerjaan.

Bermula dengan karier pramugari, penolong pengurus jualan di sebuah butik terkenal dan kini berjinak-jinak dalam bidang model.

Namun, di sebalik keberaniannya menyahut cabaran dalam setiap kerjaya yang berbeza, gadis ini tetap mengutamakan keluarga dan pelajaran.

Sharifah juga mengakui, walaupun seseorang tersebut bergelar model, ia tidak harus memberikan tumpuan terhadap soal kecantikan sahaja.

“Sebaliknya seseorang itu perlu menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang sewajarnya. Kecantikan bagi saya, bukannya bergantung kepada kecantikan luaran semata-mata, tetapi kecantikan dalaman yang lebih utama dan ia akan berkekalan,” kata anak kedua daripada empat adik-beradik ini.

Sambil memberikan gaya yang terbaik, Sharifah sempat bercerita tentang keseronokannya menyambut Aidiladha di kampung halamannya, Sungai Petani, Kedah sebelum berpindah ke Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu.

“Sejak kecil saya memang rapat dengan keluarga. Setiap tahun saya akan menyambut Aidiladha bersama mereka.

“Walaupun sambutan di Kuala Lumpur agak berbeza, kami sekeluarga tetap menyambutnya bersama walaupun tidak semeriah di kampung.

“Selalunya jika di kampung, aktiviti yang biasa kami lakukan bersama ialah upacara korban, makan bersama-sama dan kadang-kala berjalan di sekitar kampung untuk berhari raya bersama saudara mara dan jiran tetangga,” katanya yang akan menyambut Aidiladha di lokasi pengambaraan tahun ini.

“Namun begitu, pada pagi raya, saya akan terlebih dahulu beraya dengan keluarga dan menikmati hidangan biasa masyarakat Melayu seperti rendang daging, ketupat dan lemang,” jelasnya.

Seperti kebanyakan umat Islam yang lainSharifah yang berhasrat menunaikan ibadat haji satu hari nanti, bercita-cita membantu kedua-dua ibu bapanya menunaikan haji terlebih dahulu.

Berasa dirinya begitu bertuah, Sharifah bersyukur kerana dikurniakan ibu dan bapa yang memahami dirinya dan sentiasa menyokong setiap yang dilakukannya.

Di sebalik kejayaan Sharifah sebagai model sehingga berjaya merangkul gelaran ‘Dewi Remaja 2006’ baru-baru ini, Sharifah sememangnya dilahirkan di kalangan keluarga yang terlebih dahulu bergiat aktif dalam bidang seni.

Berbekalkan kepada kejayaan yang dikecap oleh ibu dan bapa saudaranya iaitu Datin Sheril Aida dan Syed Sobri, Sharifah menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk turut melangkah ke dalam dunia glamor.

Pun begitu, menurut Sharifah, bukan glamor yang dikejar, sebaliknya dia ingin merasai sendiri pengalaman dunia kerjaya yang mencabar ini.

Lagipun bidang ini juga memerlukan kekuatan untuk membuat persiapan rapi sebab ia semestinya menuntut kekuatan mental dan fizikal.

Bersesuaian dengan hobinya yang gemar melancong, Sahrifah pernah bertugas sebagai pramugari selama hampir setahun.

“Bergelar pramugari memerlukan seseorang itu sabar melayan karenah penumpang. Adatlah, sewaktu mula-mula kerja dulu pelbagai perasaan bermain di dada.

“Takut untuk terbang, kurang yakin ketika berhadapan dengan penumpang pun ada. Tetapi semua itu saya jadikan sebagai pengajaran untuk hasilkan mutu kerja yang lebih baik.

“Berbekalkan pengalaman dalam bidang ini, saya cuba mengorak langkah dalam bidang modeling,” ujarnya yang bercita-cita sebagai pembaca berita.

PROFIL

Nama : Sharifah Nor Azean Syed Mahadzhir

Nama Panggilan : Scha

Tarikh lahir : 30 Mei 1983

Pendidikan : Diploma Teknologi Maklumat, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPTL), Shah Alam, Selangor

Aktiviti sekarang : Model sambilan

Hobi : Melancong, membaca dan berenang model dan filem

Idola : Tun Mahathir Mohamad

Model dan artis kegemaran : Nasha Aziz

Prinsip hidup : Berusaha melakukan sesuatu dengan terbaik tanpa mempedulikan apa kata orang

Impian lima tahun akan datang : Ingin berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: